Friday, January 30, 2009

PAS Kedah Selesa, UMNO Kedah Merana.



Tidak seperti di Selangor dan Perak, Azizan Razak kelihatan selesa di Kedah. Jarang kedengaran isu-isu besar di Kedah. Negeri Jelapang Padi yang telah melahirkan dua Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abd.Rahman dan Tun Mahathir nampaknya sudah selesa di bawah pentadbiran PAS.

Isu yang hangat-hangat tahi ayam ialah apabila Menteri Besarnya sendiri yang mengugut akan menebang balak di kawasan tadahan air di negeri tersebut bagi menjana ekonomi negeri tersebut. Jika selama ini kawasan hutan simpan itu amat dikawal daripada melakukan kerja pembalakan bagi mengekalkan ekosistem dan kesemulajadian alam sekitar, kini ceritanya semata-mata terpaksa dilakukan bagi menjana ekonomi negeri terbabit, kawasan kawalan itu bakal dimusnahkan oleh kerajaan negeri yang diterajui PAS.

Hutan Simpanan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar dan estet hutan kekal Bukit Keramat dan Bukit Saiong merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis dan Pulau Pinang.

Namun bagi orang-orang Kedah ada jawapannya. Kerajaan Pusat lambat uruskan peruntukan, Kerajaan Negeri tidak boleh mendiam diri untuk mencari pendapatan negeri. Lagi pun di Pahang tanah-tanah tinggi dan tadahan air pun sudah gondol dan togel. Kedah saja kah yang perlu menjaga alam sekitar? Begitulah jawab mereka.

Selain daripada isu penebangan balak, ada juga mata tertumpu ke utara tanahair apabila terdengar desas desus wujud serta makin ketara kedinginan hubungan antara Menteri Besar Kedah iaitu Ustaz Azizan Razak dengan Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Malah ada sumber yang memberitahu dan mendakwa bahawa Mahfuz Omar memang tidak menyenangi kepimpinan Azizan dan sering memperkecilkan kemampuannya dalam mentadbir PAS Kedah apa lagi untuk bertanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Memperlecehkan kepimpinan Azizan dan rasa tidak senang kumpulan ini dikatakan tidak dilakukan secara senyap-senyap malah kumpulan ini bergerak secara terbuka untuk memperlekehkan Azizan sebagai ketua parti di Kedah. Tindakan untuk mengkritik ini dikatakan telah sampai ke Menteri Besar Kedah dan beliau dipercayai sedia maklum perkara ini berlaku.

Maka rakyat Kedah pun menjawab, Pemimpin UMNO tidak bergaduh ke? Kalau pemimpin PAS bergaduh, carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Bagaimana pula jika Johari Baharum berkrisis dengan Tun Mahathir, hingga sekarang tidak kebah-kebah.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS Kedah juga dicabar untuk menjalankan sistem pentadbiran Islam berteraskan perlembagaaan parti tersebut seperti mana corak pentadbiran di Negeri Kelantan dan mereka amat berharap PAS akan turut mengambil langkah seperti PAS Kelantan dengan mengharamkan segala bentuk perjudian, jualan arak dan membenteras segala perlakuan maksiat sekiranya mereka adalah benar-benar parti yang mendokong perjuangan Islam seperti yang mereka laungkan selama ini. Ini mungkin juga hasrat pengundi yang mengundi PAS dan tindakan segera mereka dalam isu ini patut laksanakan.

Kenyataan pertama daripada Azizan selaku Menteri Besar Kedah bahawa Kedah tidak mungkin akan dapat mengharamkan perjudian, arak, dan hiburan kerana hendak menjaga hati hati pengundi-pengundi Cina yang menyokong PAS. Dalam kawasan-kawasan pengundi Melayu perkara ini akan di kawal. Mahfuz mahukan Azizan bertindak aggresif supaya dia yang cakap berdegar-degar nanti ditempelak oleh rakyat.Sedangkan Azizan suka dengan kaedah biar lambat asalkan selamat.

Pendek kata, selesa benar PAS di Kedah sekarang. Kalau ada pun isu yang dibawa orang-orang UMNO Kedah ialah isu pagar rumah Menteri Besar Kedah, yang dikatakan untuk keselamatan dirinya dan keluarganya. Sudah kekeringan isu nampaknya atau memang tidak ada isu-isu besar yang dibawa oleh Azizan.

Kalau adapun rakyat bercerita, pada tahuh 2006, kerajaan Kedah yang diterajui oleh Barisan Nasional telah menaikkan kadar cukai tanah di negeri ini antara 100 peratus hingga 300 peratus. Tahun 2008 kerajaan baru mengumumkan penurunan cukai tanah untuk rakyat negeri ini. penurunan tersebut melibatkan tiga kategori tanah antara 25 dan 75peratus mulai tahun ini. Sekali lagi pukulan hebat untuk kerajaan UMNO terdahulu dan bertambah meranalah UMNO Kedah.

Ke manakah hilangnya bekas Menteri Besar Kedah dan para hulubalang UMNO Kedah seperti Ustaz Saidin, Datuk Amiruddin, Datuk Johari Baharum dan lain-lain. Kalau ADUN Bota memeranjatkan politik negara dengan melompat ke PKR, adakah pemimpin-pemimpin UMNO Kedah senyap-senyap sudah menyertai PAS. Manalah tahu, kerana politik ini adalah segalanya mungkin.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, January 29, 2009

Guru Semakin Tersisih Daripada UMNO.




UMNO pernah melahirkan pemimpin-pemimpin dari kalangan guru. Salah seorang daripadanya adalah Tun Abdul Ghafar bin Baba. Tun Ghafar (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.

Tun Ghafar adalah lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).

Selain Tun Ghafar, bekas guru yang mencipta nama dalam politik yang masih hidup adalah seperti TS Mohamad Taib dan TS Isa Samad.

Semasa zaman Tun Mahathir UMNO semakin kuat dan kukuh. 22 tahun pemerintahan Tun (1981 - 2003)telah menarik ramai tenaga profesional seperti jurutera, doktor, arkitek, ahli perniagaan, kontraktor, akauntan dan sebagainya untuk menyumbang tenaga, buah fikiran dan wang kepada UMNO. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang sihat dan memperkasakan UMNO itu sendiri.

Pada peringkat awal penubuhan UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dipelopori oleh guru-guru kerana kedudukan orang Melayu yang serba kekurangan dan belum lahir lagi tenaga-tenaga profesional Melayu. Guru-guru adalah pemimpin masyarakat yang dipercayai dan berpengaruh pada masa itu.

Apabila Kementerian Pelajaran mensasarkan 2010 semua guru di sekolah menengah dan sekolah rendah adalah terdiri daripada Guru Siswazah (DG41) iaitu kumpulan A yang dilarang aktif berpolitik maka kedudukan guru dalam UMNO semakin terbatas. Hingga kini difahamkan hanya guru-guru yang bukan siswazah yang berani memegang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian-bahagian UMNO.

Guru-guru siswazah (DG41) Kumpulan A yang ada diantaranya bekas pemimpin-pemimpin pelajar di Universiti, Pemimpin Persatuan-Persatuan Belia dan sebagainya tersekat untuk menyumbang memimpin UMNO dipelbagai peringkat. Mengikut kajian rambang dan tidak rasmi, guru-guru kumpalan A ini lebih cenderung kepada PAS dan Keadilan walaupun mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti tersebut.

Memang tidak dinafikan, bahawa guru-guru masih lagi popular dan amat diperlukan memimpin di peringkat akar umbi. Guru-guru lah yang mengerakkan UMNO Cawangan dan UMNO Bahagian sekalipun. Golongan-golongan profesional tidak ramai yang bermastautin di luar bandar kerana tuntutan lokasi kerjaya mereka. Misalnya jikalau tiada guru-guru wanita di kampung-kampung yang menggerakkan sayap Wanita UMNO, kemungkinan Rafidah dan Shahrizat tidak seselesa sekarang.

Kemanakah hala tuju guru-guru ini selepas 2010? Bolehkah Najib dan Hishamuddin tidak peka dengan perkembangan ini?

Cadangan saya, Kementerian Pelajaran perlu menyemak semula larangan berpolitik kepada guru-guru kumpulan A supaya mereka tidak terikat dengan peraturan terutama sekali kepada guru-guru yang benar-benar ingin menyumbang idea,tenaga dan kepakaran kepada parti dan negara.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tengku Deen :Tidak Tahu Jangan Bercakap!



Utusan Malaysia :KUALA LUMPUR 28 Jan. – Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahu organisasi UMNO disusun semula iaitu dengan membubarkan kesemua sayap parti termasuk Putera UMNO.

Beliau yakin langkah itu mampu membanteras gejala politik wang yang kini berleluasa terutama pada musim pemilihan parti.Sambil mengambil contoh sistem parti di England beliau berkata, kewujudan parti tanpa sayap boleh mengurangkan perebutan jawatan sekali gus menghalang lebih banyak politik wang daripada berlaku.

“Saya terfikir perlukah ada Puteri, perlukah ada Putera. Kewujudan mereka dalam UMNO bagi saya akan menyebabkan lebih banyak berlaku politik wang kerana merebut jawatan.

“Begitu juga dengan Pergerakan Wanita, ia juga perlu dipertimbangkan (dibubarkan). Di England, Parti Buruh dan Konservatif tidak ada sayap Wanita dan masing-masing berpeluang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan Lembaga Disiplin UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Ulasan amirhamzah64:

Ampun patik Tengku,

1. Tengku perlu merujuk kepada tujuan asal sayap-sayap parti ini ditubuhkan. Tujuan dan matlamat Pergerakan Wanita UMNO, Puteri UMNO dan juga Putera UMNO.

2. Wanita UMNO adalah penyumbang besar kepada keahlian UMNO, penyumbang besar idea, tenaga dan wang bagi setiap kali pilihanraya serta sumbangan yang tidak ternilai kepada pembangunan parti dan negara.

3. Puteri UMNO adalah pelapis wanita UMNO juga sama besar peranannya.

4. Putera UMNO dibawah Datuk Aziz adalah pelaksana program-program golongan muda. Tujuannnya untuk menarik golongan muda dalam aktiviti UMNO supaya mereka lebih dekat dengan UMNO dengan melakukan kerja-kerja berfaedah. Putera setahu saya tidak ada organisasi tersusun di peringkat cawangan, bahagian maupun pusat. Tidak ada persidangan cawangan, mesyuarat bahagian atau perhimpunan Putera peringkat pusat. Pendek kata tidak ada perebutan jawatan dalam Putera.

5. Jikalau begitu, bagaimana hendak menghapuskan politik wang sedangkan Putera tidak terlibat dengan pertandingan merebut jawatan.

6. Politik wang banyak berlaku di kalangan ahli UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan pusat. Tidak ada kena mengena langsung khususnya dengan Putera UMNO. Marahkan nyamuk jangan sampai kelambu dibakar.

7. Jikalau Puteri dan Putera dibubarkan 400 ribu Puteri dan 200 ribu Putera hendak dihanyutkan ke mana?

Kesimpulannya, UMNO jarang-jarang kalah di dalam pilihanraya. Tsunami 2008 membuatkan UMNO seperti cacing kepanasan. Mengelabah dan gugup menghadapi situasi genting begini. Tengku telah diberi amanah yang berat sebagai Pengerusi Lembaga Displin UMNO. Lebih baik Tengku fokus kepada isu dan kes-kes politik wang yang melambak daripada mengeluarkan kenyataan yang 'cerdik' tetapi membinggungkan ramai orang.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, January 28, 2009

Nazri Yang Gedebe Ganti Tajol Yang Lembik !




Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis malam sudah tentu menarik perhatian banyak pihak. Selain isu tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang bertindak keluar dari UMNO ada juga desas desus mengatakan ada lagi ADUN BN akan menuruti jejak langkah ADUN Bota itu.

Perkembangan politik di Perak itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu yang juga Ketua Pembangkang,Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.Beliau dikatakan tidak lagi ‘diterima’ oleh kalangan pimpinan UMNO Bahagian negeri Perak.

Tidak seperti Khir Toyo yang 'aggresif'di Selangor, Tajol Rosli kelihatan menyepi di Perak. Bukan di Perak tidak ada isu, tetapi 'karektor' Tajol Rosli di Perak sama dengan 'karektor' Pak Lah di Putrajaya. Rasa tidak puashati dengan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sekarang dikatakan menjadi salah satu faktor ‘suhu politik’ UMNO Perak panas membara.

Tajol Rosli boleh menjadi Menteri Besar tetapi tidak sesuai menjadi pembangkang yang 'ghairah'.Isu pemberian 999 tahun hak milik kekal tanah kepada Kampung-Kampung Baru tidak ditangani kemas oleh pembangkang, seolah-olah UMNO merestui. Sedangkan berpuluh tahun UMNO mempertahankan, sekelip mata PAS menghancurkan.

Kebisuan pemimpin-pemimpin UMNO Perak khususnya Tajol Rosli mengamit Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengeluarkan kenyataan. Baginda bertitah, raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Sehubungan itu, difahamkan, setelah pertemuan antara wakil rakyat BN seluruh Perak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Isnin malam satu keputusan telah dicapai iaitu teraju Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan bertukar tangan.

Tajol Rosli dikatakan akan melepaskan jawatan berkenaan dan Najib sendiri difahamkan telah diminta untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.Kalau benar ini berlaku ianya bukan sesuatu yang ganjil bagi negeri Perak kerana Tun Musa Hitam pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak di era Tun Mahathir.

Pada masa itu, Tun Musa adalah Timbalan Presiden UMNO bersama Presiden yang kuat. Najib adalah Timbalan Presiden UMNO bersama Presiden UMNO yang lemah. Tambahan pula Najib akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selepas Mac 2009.
Adakah ini tidak membeban Najib yang terpaksa memikul tugas berat terhadap negara dan melayan kerenah UMNO sebagai pembangkang di Perak?

Mungkin TS Muhyiddin Yassin kelihatan diperlukan namun Muhyiddin belum lagi sah sebagai Timbalan Presiden UMNO. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak perlu diganti juga. Kalau tidak dapat pemimpin besar UMNO daripada luar Perak, bagaimana tidak dipilih di kalangan UMNO Perak sendiri. Kalau tidak Zahid Hamidi,tidak salah untuk saya mencadangkan Nazri Aziz yang nampak bengkeng di Parlimen.

Nazri Aziz pun tidak berminat untuk bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan Mac nanti. Tugas ini dilihat lebih mudah untuk dikendalikan oleh Nazri di Perak. Persoalannya Nazri yang 'gedebe' ini diterima atau tidak oleh bahagian-bahagian UMNO di Perak?

Sama ada Najib, Nazri atau Zahid, Perak memerlukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang baru. Pak Lah yang akan bersara pada Mac nanti di Putrajaya sepatutnya diiringi oleh Tajol Rosli di Perak. Mereka berdua sememangnya telah berada di hujung kareer politik masing-masing. Jutaan terima kasih di atas segala sumbangan mereka berdua kepada UMNO,negeri dan negara dan mereka berdua tetap merupakan negarawan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Tuesday, January 27, 2009

Cadangan Membina Atau Membunuh UMNO?





Saranan Datuk Seri Idris Jusoh, Mantan Menteri Besar Terengganu, yang dipetik oleh Utusan Malaysia hari ini 28/01/2009, adalah seperti berikut:

'Seluruh calon Timbalan dan Naib Presiden UMNO wajar berkompromi untuk berikan keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan keperkasaan parti. Cara dan kaedah kompromi ini terserah kepada kebijaksanaan Majlis Tertingi (MT) UMNO untuk menentukannya. Dalam suasana politik mutakhir ini, setiap calon perlu buat pengorbanan demi UMNO dan berikan tumpuan terhadap usaha memperkasakannya. Tanpa pertandingan, UMNO mampu bendung gejala politik wang, elak perpecahan dan membolehkan ahli-ahlinya lebih fokus kepada usaha membina imej dan masa depan parti. Inilah masanya ahli UMNO dan pemimpin tertingginya bersatu hati dan eratkan perpaduan di semua peringkat bagi memperkukuh dan memperbaiki imej UMNO. Keputusan ini diambil oleh UMNO Bahagian Besut dalam mesyuaratnya kelmarin dan akan disampaikan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam tempoh terdekat'- dipetik daripada www.kudakepang.com

Ulasan amirhamzah64:

1. Pertandingan bagi semua jawatan dalam UMNO mesti diteruskan dan hidupkan demokrasi tulen. Sebelum Mac 2009, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Disiplin UMNO dan BPR sila bersihkan UMNO dengan Politik Wang atau Sogokan Wang. Rakyat mahu melihat hanya pemimpin-pemimpin yang bersih sahaja yang boleh masuk ke gelanggang.

2. Perwakilan seramai lebih 2000 orang boleh menentu dan memilih pemimpin - pemimpin mengikut pengalaman, pemerhatian, fikiran dan pertimbangan yang paling munasabah, wajar, bersih dan suci bebas daripada penjajahan wang dan sogokan. Pertimbangan paling tepat diperlukan untuk jawatan Timbalan Presiden dan 3 Naib Presiden.

3. Jadikan Perhimpunan dan Pemilihan UMNO 2009 yang paling sihat, paling bersih, paling beretika , paling waras serta paling bertamadun dalam sejarah UMNO kerana UMNO kini menjadi perhatian seluruh negara dan seluruh dunia. Perhimpunan dan pemilihan kali ini adalah jelas menunjukkan halatuju kehidupan dan kematian UMNO.

4. Perhimpunan dan Pemilihan UMNO 2009 mestilah menjadi batu asas UMNO mengorak perubahan dengan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Najib selepas Najib dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang baru. Jika peralihan kuasa tidak berlaku maka UMNO sekali lagi sedang dan benar-benar memilih untuk hancur dan musnah.

Cadangan dan pandangan Pok Yeh itu mungkin baik untuk pertimbangan sebagai mantan MB Terengganu yang berpengalaman. Cadangan itu juga boleh mengundang kemarahan banyak pihak dan ada juga yang mungkin berkecil hati. Bukankah sekarang terlalu ramai manusia UMNO yang kecewa, maka elok kita serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Cadangan ini mungkin relevan jika Pok Yeh menyatakan sebelum mesyuarat bahagian-bahagian UMNO tempohari atau cadangan ini telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi lebih awal. Kemungkinan cadangan ini akan dipertimbangkan oleh para pemimpin UMNO. Tetapi sekarang sudah terlambat dan tidak praktikal.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Boikot KFC Malaysia, JCorp Boleh Bangkrap!





Jangan Boikot KFC Malaysia! Kenapa? Kata orang makan di KFC kita menyumbang satu peluru kepada rakyat Palestin di Gaza. Sabar dulu, sila baca artikel daripada blog http://azlishukri.blogspot.com dan blog http://waadat.blogspot.com.

Board Of Directors (KFC Malaysia)
Tan Sri Dato'Muhammad Ali Hashim (Chairman)
Ahamad b Mohamad (Deputy Chairman)
Jamaludin Md.Ali (Managing Director)
Hassim Baba (Independent Director)
Kua Hwee Sim (Independent Director)

Tan Sri Muhammad Ali Hashim memberitahu BERNAMA, "Jihad bisnes seperti ini lebih membina dan menyatukan manusia apatah lagi KFC Holdings (Malaysia) Bhd mempunyai 22,000 pekerja tempatan yang sebahagian besarnya beragama Islam dengan gaji RM300 juta setahun"
"Adalah mustahak untuk kita kumpul keupayaan ekonomi kita dalam menyelesaikan masalah yang lain", katanya.

Azli Shukri menulis :

Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok.

Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan jumlah derma kita kepada rakyat Palestin?

Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel.

http://waadat.blogspot.com. pula menulis:

Beberapa hari lalu Demang menulis satu artikal dalam blog waadat ini bagi mengajak pembaca memulaukan (boikot) tiga produk iaitu KFC, Coca Cola, dan Caltex. Terdapat seorang pengunjung telah mempersoalkan mengenai status hak milik KFC Malaysia yang katanya sebenarnya tidak lagi mempunyai kaitan dengan US. Menurut beliau, KFC di Malaysia telah dimiliki sepenuhnya oleh JCORP dan tiada sebarang royalti perlu dibayar kepada KFC di US.

BENARLAH. JCORP telah membeli keseluruhan kepentingan dalam KFC Malaysia dan kini mereka tidak perlu lagi membayar sebarang royalti kepada syarikat induknya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum memboikot.

Sekian, Terima kasih banyak-banyak

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, January 26, 2009

Pertahankan Pak Lah Umpama Sokong Membawa Rebah


Artikel ini saya hantar ke email Agenda Daily.com pada 26 Mei 2008 berdasarkan kesyukuran saya di atas keluarnya Tun Dr Mahathir daripada UMNO. Dalam Kecelaruan di antara ketaatan kepada pemimpin dan juga sayangkan parti keramat UMNO ini serta ketakutan perpecahan Melayu saya menulis artikel ini bertajuk 'Orang Melayu tiada masa untuk berpecah' Pada masa itu saya mengkritik Tun dan masih menyokong kepimpinan Pak Lah. Nyata sekarang harapan itu umpama harapkan pagar,pagar makan padi.Sokongan saya umpama sokong membawa rebah. Berikut ada tulisan saya pada Mei 26 2008.

Orang Melayu Tiada Masa Untuk Berpecah

Keluarnya Tun Dr.Mahathir daripada UMNO serta merta memang tidak memeranjatkan, malah sudah dijangka dan saya ahli UMNO akar umbi amat gembira dan bersyukur atas tindakan berani Tun itu. Adalah lebih baik Tun mengkritik pemimpin negara dari luar parti kerana adalah tidak manis ahli biasa seperti Tun mengkritik Presiden dan Perdana Menteri Malaysia secara terbuka tanpa segan silu. Walaupun tidak menjadi kesalahan, tambahan lagi Tun adalah bekas Presiden Parti dan Perdana Menteri adalah menjadi sesuatu yang menjengkelkan apabila Tun tidak putus-putus memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan sedangkan ahli akar umbi rata-rata sanggup bersabar tentang peralihan kuasa mengikut tradisi parti dan dalam masa yang sama mengambil tindakan memperkukuhkan parti.

Semasa Tun menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003, rakyat telah memberi cukup peluang dan ruang kepada Tun untuk mentadbir negara. Sehingga apabila Tun meletakkan jawatan pada 2003, persaraan Tun tetap ditangisi. Terlalu banyak sumbangan Tun kepada pembangunan negara. Dalam pada itu krisis dalaman parti UMNO pada 1987 dan tahun 1998 tidak sedikitpun terpacul daripada mulut rakyat yang cintakan UMNO mendesak Tun meletakkan jawatan.

Suara-suara dan jeritan meminta Tun undur dalam tahun 1998 adalah DS Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya melalui gerakan Reformasi di seluruh negara.Namun begitu dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak ada seorang ahli pun yang mendesak Tun berbuat demikian malah sentiasa memberi sokongan padu selama 22 tahun menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Tahun 1987 dan 1998 adalah tahun gawat bagi UMNO sehingga wujud parti serpihan Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat.

Pada saya, krisis antara Tun Mahathir dan Pak lah adalah lebih bersifat peribadi. Dari isu jambatan bengkok hingga isu VCD Linggam Pak Lah nampaknya lebih telus dan cuba memerdekakan dirinya daripada bayangan pemimpin-pemimpin terdahulu. Banyak perkara yang dilihat berlaku pertentangan antara Pak Lah dan Tun M dalam beberapa isu-isu itu. Mungkin jikalau di zaman Tun M isu VCD Linggam ini kemungkinan tidak akan timbul. Pendekata Pak Lah tidak cuba menolong Tun M dan membiarkan isu-isu berjalan dan mendedahkan kepada umum perihal ketempangan yang berlaku sewaktu bukan beliau menjadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan kes Tun Salleh Abas yang diberi imbuhan ex-gratia semakin menambah kemarahan Tun M.

Sebagai rakyat biasa saya menerima dengan terbuka tentang 'keterbukaan' pemerintahan Pak Lah. Pak Lah dituduh menghalang ahli-ahli UMNO dan pemimpin UMNO berjumpa dengan Tun M. Benarkah begitu? Dalam masa yang sama Tun M diberitakan sentiasa berada diseluruh negara berjumpa ahli-ahli UMNO dan bercakap tentang pendiriannya dan mendesak Pak Lah meletakkan jawatan.

“Saya umum saya keluar parti hari ini,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota UMNO Kedah pada forum Nasib Kedudukan Bangsa Melayu di sebuah hotel di sini. Begitulah petikan daripada akhbar Utusan Malaysia 20/05/2008 yang lalu. Bukankah pengumuman itu dibuat dihadapan ahli-ahli parti. Sehari sebelum itu Tun berada di Johor Bahru. Adakah Tun berjumpa dengan ahli-ahli PAS atau PKR di sana?

Sebelum itu, beliau memberi cadangan supaya pemimpin cawangan dan bahagian parti itu meletakkan jawatan masing-masing sebagai isyarat kepada Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti sebelum pemilihan UMNO Disember ini. Tindakan Tun ini sangat bertentangan dan tidak sedikit pun ada rasa tanggung jawab terhadap parti. Jika beliau tidak keluar parti, mungkin saya akan mencadangkan agar Tun dipecat daripada parti. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, pemikirannya banyak meresap masuk ke dalam fikiran rakyat. Kesetiaan kepada parti bukan kepada individu adalah nasihatnya yang paling keramat tetapi pemikiran itu sudah semakin celaru sejak beliau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti dan kerajaan.

Saya merasakan Malaysia dibawah Pak Lah lebih demokratik, lebih bebas bersuara, lebih bebas mengkritik dan lebih terbuka. Pak Lah memang mengalu-alukannya malah mengajak rakyat bekerja bersama-samanya.

Bagi orang Melayu, kita tidak ada masa untuk berpecah. Ikut nasihat Tun Mahathir dahulu. Utamakan Parti, pemimpin datang dan pergi. Parti lebih utama daripada individu. Sokonglah pemimpin yang berkuasa sekarang dan berilah Pak Lah dan kabinetnya peluang untuk kembali ke landasan yang betul mengikut perjuangan asal parti yang telah terpesong 26 tahun yang lalu.

Empat orang presiden UMNO meninggal dunia di luar UMNO walaupun pernah menjadi memimpin UMNO. UMNO tidak punah malah terus menjadi tulang belakang politik Melayu. Ahli-ahli UMNO akar umbi tidak mengelabah tetapi pemimpin UMNO dan bekas-bekas pemimpinnya saja yang resah tidak tentu arah. Kalau UMNO itu hendak punah bukanlah ditangan ahli-ahli biasanya tetapi di tangan pemimpin-pemimpinnya.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pak Lah Tiada Pilihan Lain - Berundurlah.........



Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, “budaya dan imej UMNO” perlu dirobah supaya tonggak utama BN ini “disenangi oleh rakyat.”

Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, “UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.” Begitulah harapan bakal Perdana Menteri Malaysia dan bakal Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

"UMNO mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan “hukuman mati” terhadapnya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Syed Hamid Albar

Siapakah yang perlu berubah? Tentu sekali pemimpin-pemimpin UMNO dipelbagai peringkat yang perlu berubah.Apakah yang hendak dibersihkan? Pemimpin-pemimpin UMNO mesti benar-benar bersih bukan kelihatan bersih. Bagaimana? Begini pandangan saya walaupun ianya kelihatan radikal,konservatif dan pahit tetapi mungkin menghasilkan sesuatu yang manis.

1. Pak Lah perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat kepada DS Najib supaya Najib mempunyai kuasa penuh untuk melakukan perubahan dengan segera kerana Najib sudah menang tidak bertanding bagi jawatan Presiden UMNO.

2. Perhimpunan Agung UMNO perlu dipercepatkan bagi membolehkan Najib membentuk kerajaan dan Kabinet baru selewat-lewatnya Mac 2009.

3. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyelesaikan kes-kes politik wang terhadap pemimpin UMNO sebelum Perhimpunan Agung UMNO bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua dan Timbalan Pemuda ,Wanita dan Puteri serta barisan exco bagi memberikan gambaran baru pembersihan yang bersungguh-sungguh oleh UMNO kepada rakyat Malaysia.

4. Cadangan ini adalah cadangan paling drastik dan konvensional kepada UMNO. Berat rasanya untuk mempersilakan Pak Lah berundur tetapi percayalah kebencian rakyat kepada UMNO dan BN bukanlah atas batang tubuh Pak Lah tetapi atas andaian dan persepsi rakyat bahawa pentadbiran Pak Lah telah dikuasai oleh anak, menantu dan Kalimullah serta kroni-kroninya.

5. Jika ianya satu fakta, Pak Lah wajar memohon maaf kepada ahli UMNO atas kekhilafan ini yang menyebabkan UMNO berada di hujung tanduk dan penuh caca merba di waktu ini. Pengunduran Pak Lah mengingatkan kita kepada penyerahan kuasa oleh Tunku Abd Rahman kepada Tun Razak selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969.

6. Dalam situasi yang hampir sama, Najib seperti bapanya perlu melakukan sesuatu. Allahyarham bapanya melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) rentetan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Hari ini Najib perlu memulihkan UMNO dan BN akibat tsunami politik Mac 2008

7. Tindakan drastik ini adalah tindakan paling awal dan perlu. Jangan berlengah lagi sebelum ada malapetaka besar lain yang akan berlaku. Selepas itu ahli-ahli UMNO perlu serahkan dan berikan mandat kepada Najib dan Barisan Kabinet barunya untuk melakukan sesuatu demi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Maafkan saya Pak Lah. Jasanya mu tetap dikenang, pengorbanan mu akan tertulis dengan tinta emas dalam lipatan sejarah negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, January 25, 2009

ADUN Bota : Pengkianat atau Penyelamat?




Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasarudin Hashim keluar dari Umno untuk menyertai PKR.Berikutan itu, Pakatan Rakyat kini menguasai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, demikian menurut The Star.Barisan Nasional (BN), yang tewas kepada Pakatan dalam pilihanraya umum Mac lalu, kini tinggal 27 kerusi negeri.

Ulasan Amirhamzah64:

Alasan Nasaruddin tidak pula diketahui secara khusus. Khabar angin menyatakan beliau berasa kecewa tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra. Mudah sangat orang UMNO hendak keluar parti sekarang. Setelah menang atas kerusi BN pada PRU ke 12 tempohari, tidak sampai setahun sudah keluar parti. Nasib baik Ahli Dewan Undangan Negeri, kalau Ahli Parlimen senyum lebar Anwar Ibrahim. Tindakannya boleh dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada UMNO dan BN.

Keluarnya Nasaruddin daripada UMNO tidak membawa apa-apa kesan kepada UMNO kerana UMNO memang sudah menjadi pembangkang di Perak. Mengapa Nasaruddin memilih PKR? Bagaimana hubungan Nasaruddin dengan Anwar sebelum ini? Mengapa Nasaruddin keluar UMNO sekarang? dan Apakah yang mengecewakan sangat Nasaruddin sehingga sanggup meninggalkan parti yang teramat berjasa kepada dirinya dan Bota amnya?

Benarkah kerana tidak dilantik semula sebagai pengerusi FELCRA sanggup meninggalkan parti yang sedang bermasalah dan berada di hujung tandung sekarang? Adakah beliau merasa marah kepada MP Pasir Salak Datuk Tajuddin Rahman yang telah merampas jawatannya sebagai Pengerusi FELCRA?

Kemungkinan juga beliau merasakan UMNO tidak melakukan perubahan drastik setelah kalah dalam PRU 13, kalah dalam PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Adakah ini satu cara untuk memberitahu Pak Lah bahawa Pak Lah tidak perlu tunggu sehingga Mac untuk peralihan kuasa. UMNO sudah tenat sekarang. Perubahan drastik perlu dilakukan segera.

Najib perlu ambil alih dan membentuk kabinet baru yang mantap iaitu gabungan pemimpin-pemimpin baru dan lama. UMNO seluruh negara termasuk cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian seluruh negara perlu pro-aktif melayan kehendak rakyat.

Tidak ketinggalan jabatan-jabatan kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan sebagai badan pelaksana perlu membantu kerajaan dengan menyegerakan atau mempercepatkan sesuatu keperluan rakyat tanpa terlalu banyak birokrasi. Ramai pegawai-pegawai kerajaan yang musang berbulu ayam, siang menyokong kerajaan tetapi malam menyokong pembangkang.

Pemimpin-pemimpin UMNO ramai yang sudah bersuara, Pak Lah masih memekakkan telinga dan membutakan mata. Pak Lah telah diberikan kemenangan besar dalam PRU ke 11, 2004. Bukan rakyat tidak pernah menyokong Pak Lah. 2004 -2008 ialah tahun penilaian rakyat kepada pentadbiran Pak Lah. Kesilapan-kesilapan dan juga penerangan kepada sesuatu projek tidak dijelaskan kepada rakyat setepat-tepatnya. Rakyat mendapat maklumat yang salah tentang Islam Hadhari, Koridor-koridor ekonomi dan juga hal-hal politik semasa terutama penglibatan anak dan menantunya yang berkuasa seperti Perdana Menteri.

Pak Lah juga tidak mendapat sokongan dan dokongan daripada Barisan Kabinetnya dalam menerangkan dan mempromosikan dasar-dasar kerajaan. Contohnya berapa kerat sangat menteri-menteri yang bercakap tentang Islam Hadhari dalam ucapan-ucapan mereka. Keadaan ini berbeza semasa Tun Dr Mahathir memperkenalkan sesuatu dasar seperti Dasar Pandang Ke Timur atau Konsep Bersih, Cekap dan Amanah boleh dikatakan semua menteri bercakap perkara tersebut setiap hari.

Oleh itu kepimpinan UMNO perlu memandang serius terhadap sesuatu perkara baru yang berlaku terutama dengan isu terbaru DUN Bota ini. Jangan anggap remeh kerana UMNO sekarang sedang nazak dan perlu dipulihkan segera."UMNO mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan “hukuman mati” terhadapnya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Syed Hamid Albar" - Utusan

"Oleh kerana kita lambat melakukan perubahan, ramai berpendapat UMNO tidak akan berubah. Jika ambil masa terlalu lama untuk berubah maka orang tidak akan menunggu untuk kita "- Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dari sudut yang lain saya ingin berfikir diluar kotak iaitu keluarnya Nasaruddin dari UMNO dan memilih PKR adalah kerana perancangan PKR sendiri untuk mendesak PAS menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada PKR. Sepertimana yang kita tahu, MB Perak Nizar Jamaluddin sangat kontroversi sekarang terutama melibatkan pemberian Hal Milik Kekal Tanah di Kampung-Kampung Baru selama 999 tahun sedangkan pemilikan tanah di Rancangan Kampung Tersusun cuma 99 tahun.

Kemelut ini menyebabkan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah bertitah," raja-raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu"

Campurtangan Istana menyebabkan politik Perak menjadi kurang stabil. Adakah Nasaruddin di minta menyertai PKR dan bakal menjadi Menteri Besar Perak bagi meredakan suasana tidak tenteram di Perak sekarang. Pakatan Rakyat perlu melakukan sesuatu untuk meredakan kemarahan Melayu Perak yang turut membantu Pakatan Rakyat mengalahkan calon-calon UMNO dalam pilihanraya lepas. Jika tidak sepenggal saja lah Pakatan Rakyat memerintah Perak.

Keluarnya Nasaruddin daripada UMNO dikatakan pengkianat bagaimana pula setelah menjadi Menteri Besar dari PKR dan menyelamatkan tanah-tanah Melayu dan membatalkan pemberian hak milik kekal tanah di kampung-kampung baru ,bolehkah dianggap penyelamat?

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

KENYATAAN PENUH ADUN BOTA SEMPENA KELUAR UMNO LOMPAT PKR:

Assalamualaikum,

Setelah membuat pertimbangan terutamanya apabila melihat perkembangan suasana politik khasnya arah tuju sokongan rakyat selepas Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008, serta keadaan-keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan ini diambil setelah lama meneliti dan mempertimbangkan kepentingan rakyat seluruhnya khususnya buat para penyokong dan pengundi saya di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota:-

Saya amat yakin dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini.

Saya yakin Parti Keadilan Rakyat akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya percaya Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mampu untuk menjadi sebuah permuafakatan komponen parti-parti yang lebih baik demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Untuk membolehkan saya menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat memandangkan Pakatan Rakyat sudah pun menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.- Dato' Nasarudin Hashim

Friday, January 23, 2009

Satu Lagi Cabaran Keterbukaan Melayu dan Islam?



Berbagai-bagai isu panas berlaku sejak akhir-akhir ini. Isu Ketuanan Melayu, penafian hak-hak istimewa Melayu, isu bahasa, pemberian hak milik kekal tanah di kampung-Kampung Baru lebih menjurus kepada bangsa Melayu itu sendiri. Isu Bible yang hendak diterjemah ke Bahasa Melayu dan penggunaan "Allah' di dalam Bible benar-benar menguji kerasionalan dan setakat mana keterbukaan Melayu dan Islam di Malaysia.

Utusan Malaysia :PENAMPANG 23 Jan. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald Catholic menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Malaysia sehingga mahkamah membuat keputusan.

Katanya, perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan semua pihak harus membiarkan sistem keadilan negara menentukan sama ada Herald Catholic harus berhenti menggunakan perkataan Allah atau sebaliknya.Beliau menjelaskan, Herald hanya merupakan organisasi kecil dengan kira-kira 14,000 pembaca di negara yang mempunyai kira-kira dua juta penganut Kristian.

Menurutnya, tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald menggunakan perkataan Allah, adalah terlalu tergesa-gesa. Katanya, penggunaan perkataan Allah diterima secara meluas sebagai merujuk kepada tuhan dalam bahasa Malaysia, bahasa Indonesia serta di dunia Arab.

Ini pula adalah komen Pak Lah, "PM: No more polarisation"

PETALING JAYA: Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi has called for polarisation to be eliminated. “We must promise God that we must do whatever we can to ensure all Malaysians will live in peace together, and we must make every effort to ensure there is harmony.”

Abdullah said that future generations could only grow when there is peace and harmony. “Then our children will have the chance to live a life that is peaceful and successful. It is our responsibility that their life will be one of fulfillment.
“They must also be brought up without any sense of prejudice or bad feelings to one another, and differences in religion should not be a hindrance for them to develop friendship,” Abdullah said.

Berikut adalah pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi:

Utusan Malaysia :KUALA LUMPUR 30 Dis. – Kerajaan akan menyekat sebarang usaha pengembangan agama Kristian termasuk penterjemahan kitab Injil ke bahasa Melayu yang bertujuan mengelirukan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertepatan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen Kawalan Dan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam.

Menurutnya, isu penterjemahan kitab Injil kepada bahasa Melayu sememangnya boleh menyebabkan kekeliruan istilah dan konsep ajaran Islam serta merosakkan akidah umatnya.

Para blogger telah pun menyiarkan pendapat masing-masing yang pro dan kontra berkenaan isu tersebut. Keseluruhannya ramai yang membantah penggunaan 'Allah' dalam Bible Kristian tetapi agak terbuka dalam isu Bahasa Melayu dalam Bible. Antaranya yang membantah menulis,'Hari ini kita toleransi bible bahasa Melayu, 10 tahun lagi kita toleransi Melayu Kristian, dan peruntukan bumiputera untuk bina Gereja Kristian Melayu.

Lebih menarik ialah hujah-hujah yang menyokong penggunaan Bahasa Melayu dalam Bible. Antaranya berhujah, "Ada juga penganut kristian tidak pandai Berbahasa Inggeris terutama yang duduk di pedalaman Sabah dan Sarawak. Kemungkinan dibuat khusus untuk mereka. Jikalau kitab Al Quran boleh di terjemah ke dalam perbagai bahasa, mengapa kitab ugama lain tidak boleh?"

Pendapat lain pula menyatakan, "Difahamkan di Lebanon sendiri pun ada Bible dalam bahasa Arab. Ada juga kitab Bible dalam Bahasa Indonesia, pribumi Indon sendiri pun memang ramai yang Kristian seperti di Ambon. Begitu juga dengan Al Quran, walaupun terjemahan Al Quran banyak dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak ramai penganut agama lain memilih menganut Islam, Pucuk pangkal ialah keimanan dan kepercayaan seseorang itu kepada agama masing-masing"

Dalam hal ini, saya mengambil jalan tengah dan meminta JAKIM atau Majlis Agama Islam atau Majlis Fatwa Kebangsaan membuat kenyataan. Tidak kurang juga pendapat dan pandangan daripada ulamak-ulamak muktabar diseluruh negara.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Selamat Beristirehat Kepada Ku Li.


Agak menarik juga gossip dalam http://politica-net.com.my kali ini. Politica menulis di dalam blognya : 'Ini gossip terbaru. Nak percaya susah. Tak percaya pun susah. Kata pihak yang bawak cerita, Abdullah Badawi tengah mencongak nak buat rombakan kabinet sebelum bersara. Salah seorang yang mungkin diberi tempat ialah Tengku Razaleigh Hamzah @ Ku Li. Konon ceritanya, Ku Li akan jadi Menteri Ekonomi dan Kewangan'

Ulasan amirhamzah64:

Ku Li ialah antara orang kepercayaan Allahyarham Tun Razak dan Allahyarham mengharapkan Ku Li akan menjadi PM selepas Allahyarham Tun Hussein. Beliau juga adalah bekas Menteri Kewangan Malaysia 1976-1984. Namun dalam politik, segalanya mungkin.

Tun Hussein melantik Tun Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri walaupun Tun Mahathir hanya Naib Presiden UMNO ke 3 selepas Tun Ghaffar dan Ku Li.

Nasib malang Ku Li berterusan apabila Tun Mahathir melantik Tun Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri.Ku Li berasa kecewa kerana sering diketepikan. Tentu ada sebab mengapa Ku Li disisih oleh Tun Hussein dan Tun Mahathir.

Krisis UMNO bermula apabila Ku Li mencabar Tun Musa pada 1981 dan 1984 bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Tun Mahathir secara terbuka menyokong Tun Musa. Ku Li gagal dalam pertandingan tersebut.

1988 Ku Li serta Team B melawan arus sekali lagi sehingga UMNO diharamkan dan Ku Li menubuhkan Semangat 46. Semangat 46 dan PAS telah bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan APU telah berjaya menawan Kelantan pada Pilihanraya umum 1990 dan sehingga ke hari ini Kelantan terus bersama PAS.

Walaupun telah kembali ke pangkuan UMNO dan Semangat 46 dibubarkan pada 1996, Ku Li terus mencabar Pak Lah bagi jawatan Presiden UMNO pada 2005 dan Najib bagi jawatan yang sama pada 2008 namun hanya bahagiannya sendiri Gua Musang sahaja yang mencalonkannya.

Berdasarkan rentetan sejarah ringkas ini Ku Li bukannya hendak menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan yang digossipkan. Memberi jawatan itu kepadanya ada satu penghinaan kepada Ku Li. Ku Li mahukan jawatan Perdana Menteri.

Ku Li sebenarnya telah mempunyai segala-galanya. Hanya KUASA sahaja yang selalu memberi nasib malang kepada dirinya. Ku Li sebenarnya dibayangi oleh ketokohan dan pengaruh Nik Aziz di Kelantan. Ku Li sendiri tidak disokong oleh UMNO Kelantan. Sokongan di 'kandang sendiri' pun tidak ada, bagaimana hendak mendapat sokongan daripada 'kandang-kandang yang lain'.

Ku Li sezaman dengan Tun Mahathir dan Tun Ghafar. Tun Ghafar telah pun meninggal dunia, sementara Tun Mahathir telah pun bersara. Nasihat paling baik untuk Ku Li adalah 'BERISTIREHAT' kerana zaman Ku Li telah pun berlalu.

Amir hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Muhyiddin atau Najib ?



Blogger awi.prt8 menulis dalam blognya Nasi Lemak Bungkus (nasilemakbungkus.blogspot.com) memperkatakan tentang siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin atau Najib? Antara tulisannya:

PERDANA MENTERI DATO` SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI DAN BARISANNYA TELAH DITOLAK OLEH MAJORITI RAKYAT PADA PRU12 YANG LALU.....DAN TERKINI SELEPAS BELIAU DAN (majoriti ??) AHLI UMNO MEMBERIKAN ENDORSEMENT KEPADA NAJIB TUN RAZAK UNTUK MENGEPALAI UMNO MARCH NANTI,MAJORITI RAKYAT MASIH BERTERUSAN MENOLAK UMNO SEPERTI YANG TERBUKTI DI PRK PP DAN SEMALAM PRK KT.

'Rakyat sudah bersuara bahawa Pak Lah dan Najib sudah tidak relevan lagi...BAGGAGE mereka terlalu berat untuk dikendong bersama oleh rakyat.MASIHKAH UMNO TAK PAHAM-PAHAM LAGI BAHAWA RAKYAT MAHUKAN Muhyiddin Yassin sebagai PM'

Ulasan Amir Hamzah64:

Muhyiddin sudah 61 tahun dan Najib baru 56 tahun. Kalau diikutkan usia, Najib berilah laluan kepada Muhyiddin. Namun begitu, Jikalau Muhyiddin tidak mengeluarkan kenyataan menyokong Najib sebagai Presiden sebelum Mesyuarat Bahagian-Bahagian UMNO seluruh negara, senario mungkin berbeza. Nampaknya Muhyiddin lebih selesa berketuakan Najib daripada bersedia membuka gelanggang untuk Bahagian-Bahagian UMNO mencalonkannya bertanding jawatan Presiden.

Najib mempunyai peminat yang ramai di kalangan ahli-ahli UMNO. Kementerian yang diterajuinya sejak dahulu adalah kementerian yang menghubungkan terus dirinya dengan akar umbi. Beliau membawa perubahan yang besar apabila menerajui sesuatu kementerian. Contohnya ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan, guru dan tentera mendapat faedah yang banyak dari segi kenaikan gaji dan pangkat serta kebajikan kakitangan kedua-dua kementerian ini sentiasa terbela. UMNO akar umbi sebahagian besar pemimpinnya adalah guru dan bekas-bekas tentera.

Bagi Muhyiddin, kementerian yang diterajuinya kebanyakannya tidak menghubungkan beliau kepada UMNO akar umbi dan golongan-golongan yang menjadi pemimpin sebagai ketua-ketua cawangan dan AJK Bahagian-Bahagian. Mungkin beliau kelihatan lebih bersih dari segi moral, karisma dan ketokohannya yang menjadi satu bonus kepada beliau. Pengalamannya semasa menjadi Menteri Besar Johor juga boleh diberikan kredit.

Perlu diingat juga Muhyiddin sendiri tidak mendapat sokongan 100% daripada Johor bagi pencalonan Jawatan Timbalan Presiden UMNO. Dua Bahagian UMNO di Johor telah mencalonkan Ali Rustam dan Mohamad Taib.

Walau bagaimana pun, rakyat terbanyak melihat Najib sebagai tokoh yang boleh meneruskan tradisi membela rakyat yang dicetuskan oleh ayahandanya. Kemungkinan Najib mampu melakukannya berdasarkan pengalamannya yang luas sebagai Menteri Besar, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia sebenarnya masih 'kelabu' dan 'was-was' tentang isu pembunuhan Atantuya Sharibu yang dikatakan adanya penglibatan Najib dan Rosmah. Najib sendiri telah menafikan secara terbuka kepada rakyat serta dihadapan pemimpin-pemimpin UMNO dan ketua-ketua Bahagian UMNO dalam satu perjumpaan tidak lama dulu bahawa dia tidak terlibat malah tidak mengenali langsung Atantuya.

Penafian secara tidak bersungguh-sungguh, pembebasan Razak Baginda dan persoalan-persoalan yang tidak memuaskan hati rakyat menjadikan rakyat tidak menyakini Najib sebagai pemimpin yang bermoral.Pemikiran dan penentangan secara senyap ini semakin menebal di hati rakyat. Kemungkinan ianya diterjemahkan dalam dua Pilihanraya kecil yang terbaru di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu di mana Najib menjadi 'Jeneral' PRK tersebut.

Kes Atantuya masih berjalan dan tidak manis untuk kita membincangkannya sama ada Najib terlibat atau tidak. Sesungguhnya Najib mungkin mempunyai rekod silam berkaitan 'perempuan' membuatkan rakyat berfikir banyak kali.

Apa pun kita masih lagi berdiri di atas andaian. Kita tidak mempunyai fakta atau bukti yang kukuh untuk menuduh seseorang. Hanya mahkamah sivil yang boleh menentukannya. Jika Mahkamah sudah tidak dipercayai lagi, Mahkamah Rakyat akan membuat keputusan.

Walaupun di hati kecil menerima Muhyiddin selayaknya menjadi PM tetapi saya mengikut kehendak suara majoriti bagi mempastikan UMNO tidak berpecah lagi. Perpecahan 1988 dan 1998 meninggalkan kesan besar kepada parti yang telah berusia 62 tahun ini. Perpecahan kali ketiga jika berlaku lagi dalam tempoh 20 tahun ini pasti akan mentalqinkan UMNO.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Wednesday, January 21, 2009

Melayu sudah mula curiga kepada MCA dan Gerakan.





Selepas Pilihanraya umum ke 12, Mac 2008 di mana Barisan Nasional(BN) gagal menguasai 2/3 parlimen di samping kecundang di 5 negeri, terlalu banyak saranan dan pandangan berhubung dengan masa depan BN. Lebih gawat lagi apabila BN kalah di dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Kerisauan tentang masa depan BN ini mencetuskan pelbagai luahan perasaan tentang permasalahan dalaman BN khususnya di mana UMNO sebagai tulang belakangnya. Ada berpendapat mengatakan bahawa BN itu adalah satu bebanan kepada UMNO berdasarkan kepada kekalahan calon-calon MCA, MIC dan Gerakan kepada DAP dan PKR.

Selepas tsunami politik 2008, memperlihatkan kelonggaran ikatan antara parti-parti utama dalam BN. MCA dan Gerakan seolah-olah masih tidak dapat menerima kekalahan besar mereka apabila pengundi-pengundi Cina beramai-ramai beralih angin kepada DAP dan PKR. Krisis dalaman parti tersebut terutama MCA dengan isu skandal seks pemimpin mereka dan isu-isu kroni dan nepotisme juga telah membuatkan pengundi Cina tidak lagi mengiktiraf MCA sebagai parti yang mewakili orang Cina.

Kekalahan besar MCA dan Gerakan bukanlah disebabkan oleh UMNO. Ia disebabkan oleh kelemahan parti tersebut dan juga dakyah-dakyah yang menyakinkan masyarakat Cina bahawa pentadbiran baru Pakatan Rakyat dilihat lebih adil, lebih berwibawa dan mereka akan mendapat layanan sama rata sebagai rakyat Malaysia. PKR berjaya memainkan isu ini sehingga pengundi Cina yang dikatakan bijak pun boleh 'termakan' kelentong Anwar Ibrahim.

Dakyah PKR ini juga berjaya memperdayakan MCA dan Gerakan yang percaya bahawa UMNO lah yang menyebabkan Gerakan tewas di Pulau Pinang.MCA pula kehilangan banyak kerusi Parlimen dan DUN di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan khususnya.PKR bukan sahaja berjaya menanam rasa benci kepada BN tetapi berjaya juga menghasut parti-parti kompenon BN berkonflik dengan UMNO.

Kenyataan pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan berkenaan isu hak-hak istimewa Melayu, isu pendatang, isu pemberian hak milik tanah di kampung-kampung baru di Perak dan ketuanan Melayu seolah-olah mereka sudah tidak selari lagi dengan kepimpinan UMNO dan rakan-rakan lain dalam Barisan Nasional.

Agaknya mereka inikah yang disebut-sebut dan didakwa akan melompat ke Pakatan Rakyat oleh Anwar Ibrahim?. Adakah mereka ini akan menunggu masa yang sesuai untuk melompat setelah mereka yakin dan pasti bahawa UMNO benar-benar berada di ambang kehancuran? MCA dan Gerakan agaknya sudah terlupa bahawa walaupun mereka 'knock out' dalam pilihanraya lepas, di kalangan mereka masih lagi ada yang diangkat sebagai menteri, timbalan menteri dan senator.

Walaupun mereka dikatakan menguasai segenap segi ekonomi negara, tetapi dalam politik MCA dan Gerakan masih bergantung harap dengan kekuatan politik Melayu. Begitu juga MIC, kalau diikut kawasan majoriti India, tidak ada satu kerusi pun yang boleh ditandingi oleh MIC. MIC banyak bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Begitu juga calon-calon India dalam PKR. MCA dan Gerakan juga ada sesetengahnya bertanding di kawasan majoriti Melayu tetapi dalam sejarah politik Melayu tidak pernah mengkianati BN terutama di kawasan-kawasan Pantai Barat.

Disebabkan kepimpinan UMNO masa kini layu dan lembik. MCA dan Gerakan mengambil kesempatan sedangkan di zaman pemerintahan Tun Dr.Mahathir mereka hanya menikus. Mereka ketika itu hanya menggunakan persatuan-persatuan Cina untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

DS Najib tidak ada pilihan lain. Najib dengan apa cara sekali pun wajib membersihkan UMNO yang korup dan lemah. Berani bertindak ke atas ikan-ikan jerung di dalam UMNO jika benar mereka terlibat dalam politik wang. SPRM sudah bersedia untuk berperang habis-habisan membasmi politik wang. UMNO perlu kuat semula. Ahli-ahli UMNO tidak ada sebab lagi untuk bercakaran.Mereka yang berada di dalam UMNO yang hanya berniat untuk mengumpul kekayaan dan memecah belahkan Melayu, silalah berundur.

Di dalam keadaan politik Melayu yang lemah, pemimpin-pemimpin Melayu wajar memberi ingatan kepada MCA dan Gerakan supaya tidak menjadi talam dua muka, menjadi gunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelingkeng berkait. Kalau hendak berkawan, berkawanlah di kala susah dan senang. Jangan menikam UMNO dari belakang, UMNO masih relevan bagi majoriti Melayu khususnya di pantai Barat. Setidak-tidaknya kenanglah UMNO sebagai parti' abang tua' dalam politik Malaysia.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Monday, January 19, 2009

Daripada Sultan Ke Ketua Kampung Adalah Melayu, Tapi Melayu Tetap Miskin


Daripada Sultan hinggalah kepada Ketua Kampung adalah Melayu, Perdana Menteri adalah Melayu, Timbalan Perdana Menteri juga Melayu, Menteri Besar dan Ketua Menteri hampir semua Melayu, Menteri-menteri ramai yang Melayu.

Ketua-ketua Jabatan dan Pengarah-pengarah Kementerian kebanyakannya Melayu, Pegawai Daerah-Pegawai Daerah semestinya Melayu, kakitangan kerajaan 90% adalah Melayu, Tok Penghulu dan Tok Pengawa wajib Melayu, Ketua Kampung dan Tok Sidang pun Melayu. Namun selepas 51 tahun Merdeka ,Melayu masih di kalangan golongan termiskin di Tanah Melayu. Selepas 63 tahun UMNO dilahirkan Negeri-negeri Melayu khususnya tidak maju-maju.

Kadang-kadang pelik juga tetapi di dalam dunia ini banyak benda yang pelik-pelik berlaku. Satistik ini diambil dari ucapan Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat ketika perbahasan Rang Undang-Undang 2008 di Parlimen pada 30 Oktober 2007 berkenaan masalah kemiskinan mengikut kaum. Beliau mendapat sumber daripada Jabatan Perdana Menteri berdasarkan bancian 2004.

Agihan isi rumah termiskin mengikut kumpulan etnik utama menunjukkan kumpulan etnik bumiputera adalah tertinggi iaitu 65100 isi rumah atau 96.7%. Pada tahun 2009 ini index ini pastinya akan meningkat tambahan pula dalam kegawatan ekonomi global. Utusan Malaysia melaporkan 45 000 pekerja kilang diberhentikan kerja apabila pengurusan kilang menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji. Sebahagian besar pastinya Melayu.

Tidak menghairankan jika fenomena ini berlaku pada masyarakat India kerana Menteri Kerja raya pun sudah tidak dimiliki oleh koata MIC, tetapi ianya berlaku pada bangsa Melayu yang menguasai hampir keseluruhan pengurusan dan pentadbiran negara.Sejak daripada zaman Tunku Abd.Rahman hingga ke zaman Pak Lah tidak putus-putus projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan di rancang dan dilaksanakan khususnya untuk orang Melayu tetapi Melayu tetap di tangga teratas mempertahankan kejuaraan rakyat termiskin di negara ini.

Kemiskinan memang sukar dihapuskan tetapi ianya boleh dikurangkan. Di mana silapnya dasar-dasar kerajaan yang murni,pengurusannya kah atau perlaksanaannya kah? Kenapa DEB tidak mencapai targetnya pada tahun 1990 setelah 20 tahun perlaksanaannya.Melayu dan Bumiputera hanya menguasai 18% kekayaan negara.Itu pun dibantu oleh pemilikan kerajaan dan penswastaan berkepentingan kerajaan.

Siapakah yang kaya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Pertama Cina yang memang terlibat dengan perniagaan dan perdagangan. Kedua ahli-ahli politik Melayu yang tidak berniaga tetapi mendapat laba melalui projek-projek kerajaan secara runding terus. Golongan ini lah yang cepat kaya berbanding dengan Melayu yang betul-betul berniaga tetapi jarang mendapat peluang. Melayu yang tidak ada hubungan politik sukar untuk berjaya dan berdaya saing.

Melayu di Jabatan-jabatan Kerajaan lebih mesra dengan rakyat bukan Melayu apabila berurusan sama ada di Pejabat Daerah, Pejabat Tanah atau Majlis-Majlis Perbandaran. Kebanyakan Melayu tidak berduit untuk berurusan. Permohonan pastinya lambat mendapat kelulusan dan projek-projek terlepas begitu sahaja. Budaya 'duit' ini hidup subur di Jabatan-Jabatan Kerajaan tertentu. Siapa yang berani menafikan? Tanyalah kepada ahli-ahli Perniagaan Melayu atau pun ahli-ahli perniagaan Cina yang berurusan di Jabatan-Jabatan kerajaan.

Saya tidak ada bukti bertulis, tetapi saya selalu berbual-bual dengan ahli-ahli perniagaan ini. Rasuah di Malaysia walaupun tidak seteruk Indonesia ianya menjadi faktor penting mengapa DEB tidak menjadi kenyataan. Impian Tun Razak mati bersama-sama dengan kematiannya.

Bukan semua pemimpin-pemimpin Melayu yang rajin. Kebanyakannya tidak kreatif dan pemalas. Pemimpin Melayu mendahului dirinya dahulu berbanding kepentingan rakyat. Pemimpin Islam semestinya lebih miskin daripada rakyat bukannya istananya lebih cantik daripada masjid.Bukan semua tetapi semua wakil rakyat Melayu sama ada dari kerajaan atau pembangkang semuanya 'berada'. Bagi tahu saya seorang wakil rakyat yang miskin.Duitnya habis untuk rakyat dan membantu orang miskin, janda-janda dan anak-anak yatim.

Malah yang lebih bahaya apabila ada yang berkata , 'Kalau hendak kaya, masuk politik' Jadi kalau begitu pemimpin-pemimpin kaya melalui politik .Apa maksud nya begitu? Pemimpin-pemimpin UMNO ke, PAS ke, Keadilan ke semuanya ada niat untuk mencari projek apabila menjadi ahli parlimen atau wakil rakyat DUN.Jika ada peluang jarang mereka lepaskan. Bagi tahu saya wakil rakyat kawasan mana yang hanya ada satu-satunya kereta proton saga? Jadi dalam pemikiran mereka kaya diri sendiri dahulu barulah sakibakinya bagi kepada orang miskin.

Sebenarnya inilah pemikiran yang sedang bermain-main di dalam seluruh pemikiran rakyat Melayu dan Malaysia. Pemimpin-pemimpin terlalu menjaga kuasa,harta dan pengaruh. Dalam mereka tidak sungguh-sungguh dan main-main pun, Malaysia sudah semaju begini. Kalau mereka betul-betul,sungguh-sungguh dan ikhlas kemungkinan kemiskinan akan dapat dikurangkan walaupun mustahil untuk dihapuskan.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Sunday, January 18, 2009

Jangan Ungkit Sejarah: MCA, GERAKAN dan DAP sudah lama tidur sebantal





Apabila MCA, Gerakan minta henti ungkit soal sejarah sepantas kilat fikiran teringat tentang permintaan mereka berkehendakkan kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri ke dua diwujudkan untuk MCA pada tahun 1980an. Kesemua permintaan dan suara-suara sumbang ini kedengaran ketika UMNO dan Melayu berpecah dan berada di dalam keadaan yang lemah.

Perlu diingat Kolej Tunku Abd Rahman (KTAR) itu pun diminta kerana UMNO mewujudkan Intitut Teknologi Mara (ITM),mereka menuntut KTAR untuk pelajar-pelajar Cina menyambung pelajaran ,walaupun mereka menjanjikan 10% untuk bumiputera. Apakah realitinya sekarang?

Utusan Malaysia melaporkan.
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Semua pihak diminta berhenti mengungkit soal sejarah yang boleh menjurus kepada tercetusnya ketegangan kaum di negara ini selain menjejaskan perpaduan antara rakyat. Timbalan Ketua Wanita Gerakan, Ng Siew Lai berkata, tindakan itu penting terutama pada waktu negara sedang berhadapan dengan situasi mencabar ekoran krisis ekonomi dunia.

''Semua pihak harus berfikiran terbuka dan berganding bahu untuk mengukuhkan hubungan muhibah serta menyemai semangat saling memahami antara rakyat pelbagai kaum di negara ini. ''Sama ada kita suka atau tidak, sejarah tidak boleh diubah lagi. Ia sebaliknya perlu dijadikan panduan dan pengajaran oleh generasi baru dalam usaha kita mewujudkan sebuah negara yang maju dan makmur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Jawapan : Kalau sejarah boleh menjurus kepada ketegangan kaum, lebih baik hapuskan matapelajaran Sejarah di sekolah- sekolah dan universiti-universiti. Kementerian Pelajaran baru hendak mencadangkan subjek sejarah di ajar di sekolah rendah, Ng Siew Lai pula meminta jangan diungkit soal sejarah.

Siapakah yang tidak berfikiran terbuka? Siapakah yang sebenarnya hendakkan perpaduan?
Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan oleh Allahyarham Tun Abd.Razak b Hussien pada tahun 1970 yang mana akhirnya bertujuan untuk Perpaduan Nasional DEB mempunyai serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. Namun begitu siapakah yang menentangnya dan mencadangkan supaya ia dihapuskan sedangkan tujuan sebenarnya adalah Perpaduan Nasional?

Siapakah yang menolak sekolah wawasan? Kewujudan SRJK (C), SRJK(T) dan Sekolah Kebangsaan hanya melahirkan perpaduan yang palsu, hipokrit dan tidak akan tercapai sehingga hari kiamat. Siapakah yang menolak perpaduan?

Siew Lai berkata, rakyat di negara ini harus saling menghormati antara satu sama lain, pandang ke depan dan bukannya menafikan kebenaran peristiwa bersejarah yang telah berlaku. ''Kita juga tidak mungkin berdendam dengan pihak British atas apa yang mereka lakukan pada waktu itu kerana banyak lagi perkara penting yang perlu kita laksanakan demi keselesaan hidup semua rakyat," ujarnya.

Jawapan : British tetap penjajah. Penjajah tetap menindas dan menganaktirikan pribumi kerana hanya pribumi saja yang berhak menuntut Tanah Melayu ini mencapai kemerdekaan. Pribumi dibiarkan miskin, tidak berilmu dan tidak berharta supaya British akan lebih lama menjajah Tanah Melayu yang kaya raya ini. Dasar Pecah dan Perintah British menguntungkan penduduk pendatang khususnya Cina yang telah maju berpuluh tahun sebelum Tanah Melayu merdeka pada 1957.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng berkata, semua rakyat di negara ini tidak kira kaum bumiputera atau bukan bumiputera telah bersama-sama membangunkan negara ini sejak kemerdekaan. ''Golongan bukan bumiputera bukannya tinggal di negara ini tanpa memberi sebarang sumbangan. Mereka turut mempunyai semangat kebangsaan dan keazaman untuk memajukan Malaysia supaya ia disegani negara lain," katanya.

Jawapan : Perlu diingat apakah sumbangan bukan bumiputera ketika orang Melayu berjuang ketika cadangan Malayan Union pada tahun 1946. Mereka tidak berjuang bersama Dato'Onn kerana Malayan Union itu menberi keuntungan kepada mereka terutama isu kewarganegaraan. Apa sumbangan bukan Bumiputera ketika Tanah Melayu di serang Jepun? Siapakah yang mempertahankan Singapura sebagai benteng terakhir kalau bukan Leftenan Adnan dan askar-askar Melayu?

Siapakah yang berjuang menentang Bintang Tiga dan komunis? Siapakah yang gugur mempertahankan negara tanah pusaka ini dan siapakah yang ramai disembelih, direbus dan disalai hidup-hidup oleh Bintang Tiga pada pada tahun 1945 dahulu. Sebutkan seorang nama pejuang bukan bumiputera yang gugur kerana mempertahankan tanah air ini sebelum merdeka 51 tahun yang lalu.

Ketika Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan, orang Melayu telah diletakkan syarat oleh British supaya menerima Cina dan India tinggal di Tanah Melayu. Ini adalah syarat untuk merdeka. Melayu tiada pilihan lain. Pendek kata, Melayu sudah menebang hutan dan belantara, mereka datang hanya membuat lorong. Melayu sudah menebas semak dan samun mereka hanya datang menghamparkan permaidani.

Tambahnya, kaum bukan bumiputera di Terengganu dan Kelantan dapat menjalani kehidupan mereka dengan selesa dan gembira meskipun hampir 90 peratus penduduk di sana ialah kaum bumiputera. ''Ini adalah contoh yang paling baik untuk kita buktikan faktor perbezaan kaum, agama dan budaya tidak menjadi batu penghalang dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni. ''Keadaan sedemikian boleh disuburkan jika semua pihak mengamalkan sikap saling menghormati, memahami dan toleransi," kata beliau.

Jawapan : Jangan ambil contoh jumlah 10% di Terengganu dan Kelantan. Cina di sana sudah diasimilasikan dengan budaya dan adat resam Melayu. Bertutur pun mengikut dielek Melayu tempatan. Begitu juga di Indonesia yang sudah diasimilasikan oleh Jawa dan Bangsa Indonesia. Bagaimana pula dengan Cina di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor, dan negeri-negeri Pantai Barat yang lain. Sama kah mereka dengan Cina yang seperti antah beras di Kelantan dan Terengganu itu. Walaupun mereka minoriti tetapi mereka kaya raya dengan bantuan Melayu yang menghuni 90% penduduk di kedua-dua negeri itu.

Kesimpulannya MCA dan GERAKAN tidak suka diungkit sejarah Malaysia ini kerana mereka di pihak yang rugi dan sedar sejarah datuk nenek moyangnya di sini. Lee Kuan Yew terpaksa memadamkan sejarah Temasik dan Sejarah kesultanan Johor dalam sejarah Singapura Moden untuk generasi Singapura pada masa akan datang.

Bukankah idea ini sama dengan idea Lee Kuan Yew. Siapakah pewaris PAP di Malaysia kalau bukan DAP. Oleh itu MCA, GERAKAN dan DAP memang sudah lama tidur sebantal cuma parti saja berbeza tapi matlamatnya sama.


Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Saturday, January 17, 2009

Melayu Terengganu Mengajar UMNO Pusat ?



Keputusan Pilihanraya umum 8 Mac 2008:

Datuk Razali Ismail (BN-UMNO)= 32 562
Mohamad Sabu (PAS) = 31 934
Maimun Yusof (BEBAS) = 685
Undi Rosak = 931
Majoriti = 628
Peratus keluar mengundi :82.45 peratus atau 66,231 pengundi.

Keputusan Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu 17 Januari 2009:

Wan Ahmad Farid (BN) : 30,252 undi
Mohd. Abdul Wahid (PAS): 32,883 undi.
Azharudin Mamat (BEBAS : 193 undi
Undi rosak : 665 undi.
Majoriti : 2631 undi
Peratus keluar mengundi: 79.9 peratus atau 63,993 pengundi.

Lebih menarik lagi, PAS sapu bersih:

1.DUN Batu Buruk - kemenangan kepada PAS
2.DUN Wakaf Mempelam - kemenangan kepada PAS
3.DUN Ladang - Kemenangan kepada PAS
4.DUN Bandar - Kemenangan kepada PAS

Kalau di buat analisis mudah berdasarkan keputusan Mac 2008 dan Januari 2009
Undi BN merosot 2310 undi, Undi PAS meningkat 949, Undi Bebas berkurangan 492 dan Undi Rosak berkurangan 266. Ada sebanyak 603 undi berbaki. Disamping itu 2238 undi yang keluar mengundi pada Mac 2008 telah tidak keluar pada Januari 2009.

Di Negeri-negeri Pantai Timur angka-angka begini sangat sensitif. Sedikit kesilapan akan membawa kepada impak yang besar. Undi PAS antara 31000 -32000 adalah tetap dan tidak akan berubah. Ahli PAS tidak akan 'murtad' parti dan tidak akan 'murtad' agama . Mereka wajib mengundi PAS jika tidak mahu ketinggalan ke syurga. BN juga sudah ada pengundi tetap dan setia dalam lingkungan bilangan yang hampir sama.

Bagi pilihanraya kali ini di Kuala Terengganu mungkin ada rasa tidak puashati terhadap pemilihan Wan Farid yang dikatakan tidak dapat menyaingi ketokohan, karisma dan sifat kekampungan yang ada pada Allahyarham Datuk Razali Ismail. Orang Kuala Terengganu lebih selesa dengan Zubir Embong yang dikatakan disenangi dan mesra di kalangan orang Kuala Terengganu yang pro BN.

Kemungkinan jika Zubir Embong dipilih, BN mempunyai peluang untuk memenangi dengan majoriti yang kecil mungkin lebih kecil daripada majoriti yang di perolehi oleh Allahyarham Datuk Razali kerana seperti yang saya katakan PAS sudah ada penyokongnya yang tetap dan berpencen. BN dan PAS hanya perlu berebut 2000-3000 undi sahaja untuk menarik mereka mengundi parti masing-masing.

Selain daripada itu, Jika BN ingin juga memenangi kerusi di P036 Kuala Terengganu, peratusan keluar mengundi semestinya melebihi 80 peratus. Jika tidak, BN tidak mampu menyaingi PAS kecuali ada isu-isu menyengat dan panas bukannya isu-isu basi dan tidak disenangi oleh masyarakat Kuala Terengganu.

Sebagai kesimpulannya, UMNO pusat semestinya mendengar pandang Majlis Tertinggi, pandangan UMNO Negeri dan pandangan UMNO akar umbi dalam isu pemilihan calon. Kekalahan BN di Kuala Terengganu ini adakah mesej UMNO Terengganu atau mesej rakyat Terengganu? Adakah mesej ini untuk Perdana Menteri? Timbalan Perdana Menteri? atau Menteri Besar?

Adakah rakyat Terengganu memberi mesej yang jelas kepada BN bahawa Terengganu akan menyertai 5 negeri Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.UMNO parti yang dinamik bukan parti sejuk dan beku. UMNO wajib berubah, sudah bersediakah pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhijrah? Sejarah UMNO menunjukkan UMNO bukannya Parti Pekak, Buta dan Bisu.

Dr Syed Ali Tawfik berkata 'Zaman masakini merupakan zaman yang paling buruk. "Pekak, bisu, dan buta, mereka tidak akan kembali (ke jalan yang benar)" (2/al-Baqarah:18). Apa yang dicari setiap manusia ialah cahaya kebenaran dan keselamatan; apa yang dia nyalakan ialah api. Nyalaan api itu menghasilkan kejutan dan kekaguman serta memenangi pujian semua. Namun, oleh kerana api itu bersifat sementara, pujian tersebut juga bersifat sementara dan dalam masa yang sama kegelapan kembali, namun kali ini keadaannya lebih dahsyat. Unsur munafik, tipu-daya, keangkuhan, segala sifat tercela sekali lagi bermaharajalela mengalahkan kebenaran, keikhlasan, dan segala sifat terpuji'

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Thursday, January 15, 2009

Tuanku yang cerdik, Menteri Besar yang Dungu



Memang benarlah seperti dalam catatan sejarah,100 tahun terakhir penjajahan British di Tanah Melayu telah memberikan kemewahan melimpah- ruah kepada masyarakat Cina terutama apabila kita memperkatakan pemberian tanah bagi penduduk Kampung Baru. Pada tahun 1950, masyarakat Cina telah mendapat keistimewaan menduduki satu kawasan serba lengkap sedangkan pribumi Melayu hidupnya daif dan merempat di tanah airnya sendiri.

20 tahun kemudiannya baru lah 112,000 keluarga Melayu daif mendapat tanah yang jauh dari bandar, meneroka sendiri dan cuba merubah hidup mereka dengan bantuan kerajaan. FELDA yang ada pada hari ini adalah cetusan idea pemimpin-pemimpin Melayu khususnya Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein yang ingin memberi ruang dan peluang kepada Melayu untuk merasai sedikit nikmat hidup di bumi tanah pusaka ini.

Pada hari ini wujud seorang pemimpin Melayu yang tidak sedar diri dan tidak tahu diuntung telah memberi pula hak milik kekal kepada penduduk -penduduk Kampung Baru yang tidak mendapat hak milik kekal itu semasa penjajahan British. Pemimpin Melayu ini lebih dahsyat daripada British , seorang yang buta sejarah, lemah ,lembik ,mudah dikuasai, senang dipengaruhi dan merelakan ditunggangi oleh orang lain untuk mencapai sesuatu kepentingan. Melayu ini tidak mahu menyelidiki jauh sekali untuk menginsafi kerana tanah-tanah Kampung Baru adalah tanah-tanah milik kerajaan Tanah Melayu atau tanah-tanah persendirian Melayu.

Nasib baik Negeri Perak mempunyai Raja Muda yang cerdik dan bijak dapat menutup kedunguan Menteri Besar yang lemah. Pendedahan DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA PERAK DARUL RIDZUAN RAJA DR. NAZRIN SHAH IBNI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
berkenaan isu pemberian hak milik kekal kepada penduduk-penduduk Kampung Baru tidak tercatat dalam buku-buku teks sejarah di sekolah -sekolah dan jarang diketahui umum. Baginda bertitah 'Rancangan Briggs sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu'

Kekesalan dan kesedihan Raja Dr.Nazrin Shah dengan apa yang berlaku di Perak hari ini diterjemahkan dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)baru-baru ini. Titah Raja Nazrin Shah yang menjadi payung kepada umat Melayu Perak perlu disambut oleh YAB Menteri Besar dengan membatalkan hasratnya sebelum timbulnya rasa kebencian umat Melayu di seluruh negara terhadap beliau.

Persoalannya, sama ada YAB Menteri Besar akan patuh kepada nasihat Tuanku Raja Muda yang mewakili hasrat dan harapan Melayu Perak yang dipayungi baginda atau terus tunduk dan mengikut telunjuk rakan kongsinya DAP.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Siapa Undi Penentu di P036 Kuala Terengganu




Pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu sudah hampir ke kemuncaknya. KT menjadi tumpuan penyokong-penyokong, pemimpin-pemimpin dan peminat-peminat politik seluruh negara menyaksikan satu lagi pilihanraya kecil yang dikhabarkan berada dalam suasana tenteram dan aman. Ini membuktikan demokrasi semakin subur, rakyat semakin matang dan pemimpin-pemimpin politik saling memahami.

Gambaran sebenar tidak diketahui kerana penulis tidak hadir di tempat kejadian. Hanya menulis dari jauh dan mengikuti tulisan-tulisan, pandangan-pandangan dan ulasan pelbagai orang yang mengambil berat dan merasakan PRK ini membawa 'kepentingan' kepada politik negara keseluruhannya.

Ketika sedang 'ngeteh' di warung, ramai yang berkira-kira dan congak-mencongak BN atau PAS kah yang berjaya menambat hati majoriti pengundi KT. Tidak kurang menariknya apabila ramai yang berhujah dan berfirasat siapakah yang menjadi undi penentu bagi memastikan calon parti mana yang memenanginya secara mutlak.

Daripada 80 229 jumlah pengundi, ada yang berpendapat undi Melayu sebenarnya yang menjadi penentu. Memandangkan Melayu adalah pengundi majoriti di situ, maka Melayu lah yang menentukan kemenangan PAS atau BN. Namun begitu, ada yang mendakwa undi Melayu telah terpecah dua, 50-50. Kalau begitu siapa pulak yang menjadi penentu?

Mengikut salah seorang penulis blog yang dikenali sebagai 'budak kg', disebabkan pengundi Cina yang diwar-warkan sebagai pengundi penentu maka banyaklah habuan yang diterima oleh mereka. Katanya 'Apa yang saya perhatikan pengundi Cina yang di beri keutamaan yang dikatakan pengundi penentu. Oleh itu BN dan Pas berusaha untuk memenangi hati pengundi Cina.'

Banyak peruntukan BN diberi kepada pengundi Cina di DUN Bandar antara nya 6.1 juta untuk Dewan Cina yang di umumkan oleh Menteri Besar YAB Mat Said, dan peruntukan daripada Menteri Pelajaran sebanyak lebih kurang 2.3 juta untuk SRJK(C) di Kuala Terengganu. Inilah politik 'jaga hati 'yang di lihat bermain di Terengganu khasnya dan Malaysia am nya selepas peristiwa Titanic Mac 2008' Begitulah keluhan salah seorang pengundi Melayu di KT.

Melihat kepada keluhan pengundi PRK kali ini seolah-olah tidak ada peruntukan di kawasan-kawasan pengundi Melayu. Kalau ada gamaknya tidaklah sampai berjuta-juta seperti mana yang digembar-gemburkan oleh media massa tentang kesungguhan BN menarik pengundi Cina. Senario ini mungkin kurang menyenangkan pengundi Melayu tetapi penulis tidak berada di tempat kejadian. Kemungkinan habuan projek untuk kawasan-kawasan Melayu tidak begitu mewah tetapi meliputi kawasan yang lebih banyak melibatkan jutaan ringgit juga.

Ada juga melihat undi penentu ini datangnya daripada kalangan warga pendidik seperti yang ditulis oleh www.kudakepang.com. 'Bagaimanapun, ada pemerhati dan penganalisis politik mengatakan, penentu kepada mana-mana calon dalam PRK Kuala Terengganu bukannya undi kaum Cina. Sebaliknya, kemenangan BN atau PR dalam PRK ini ditentukan oleh undi warga pendidikan.'

Datuk Ron menulis 'Ramalan demikian kerana sehingga hari ini adalah dipercayai bahawa sebilangan warga pendidikan dalam Parlimen Kuala Terengganu dikatakan “tersinggung hati”' Datuk Ron sendiri tidak dapat mengulas mengapa agaknya cikgu-cikgu yang cemerlang di KT itu mirip kepada pembangkang.

Ada kemungkinan betul juga kata Datuk Ron kerana bukan sahaja cikgu-cikgu di KT malah di seluruh negara cikgu-cikgu sudah tidak ambil pusing dengan BN. Pelik juga cikgu-cikgu ni, gaji semakin tinggi, peluang naik pangkat semakin banyak tetapi tidak tahu bersyukur. Sebab itulah gamaknya budak-budak sekolah semakin tidak siuman.

Ada juga yang berpendapat undi penentu adalah ditentukan oleh sikap dan tingkahlaku pemimpin-pemimpin BN sendiri khususnya UMNO. Mereka mendakwa parti lawan bukannya berkemampuan sangat berdasarkan isu-isu yang dimainkan di KT. Lebih ditakuti BN adalah kerja-kerja 'tikam belakang' kepada calon BN bukannya bekerja keras memenangi calon pilihan pemimpin pusat. Dikhabarkan Datuk Wan Farid kurang disenangi pengundi kerana hubungan baiknya dengan Khairi Jamaluddin.

Selain daripada isu-isu undi penentu, cerita-cerita kedai kopi ada mengaitkan PRK P036 ini sebagai ujian kepada Najib sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri Mac nanti.Kalau BN menang di KT akan menaikkan imej Najib selaku bakal PM, jika BN kalah nampaknya 'sial' Permatang Pauh sudah berjangkit ke Kuala Terengganu. Majoriti pemerhati mengharapkan Pak Lah tidak perlu turun ke Kuala Terengganu. Setakat ini sudah dua kali Pak Lah datang ke KT. Kehadiran Pak Lah dikatakan nanti akan merosakkan mood pengundi BN dan buat 'kacau daun' saja. Begitu lah komen pencacai-pencacai politik di warung-warung kopi di seluruh negara.

Walau pun begitu, melalui pembacaan , perbualan, perbincangan di warung-warung saya meramalkan PAS akan memenangi pilihanraya kali ini dengan majoriti yang kecil, walaupun rakan-rakan mencongak BN akan menang selesa. Semoga PRK P036 Kuala Terengganu berjalan dengan lancar , aman dan selamat.

Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com